Blogroll

Seni Bina - Arkitek

Sejak mula bernyawa di dunia ini, manusia sejagat telah mula mengenali bidang senibina kerana ianya merupakan satu bidang terulung sebelum manusia mengenali persekitarannya yang lain. Walaupun manusia pada mulanya hanya mendiami gua semulajadi kurniaan Allah, tetapi bermula di situlah mereka sudah mengenali keperluan ruang peribadi mereka. Bermula dari itulah manusia sudah menggunakan kebijaksanaanya menyediakan ruang peribadinya mengikut citarasa dan keperluannya sendiri. Maka termaktublah bukti nyata bahawa bidang senibina adalah satu bidang profesion tertua dan terulung manusia di dunia ini. Setelah menjangkau satu jangkamasa berabad lamanya, sejarah pembangunan senibina di dunia ini telah berkembang begitu hebat sekali. Di Malaysia khususnya, sejarah pembangunan senibinanya pula telah menjadi satu bidang yang kritikal sebagai asas terpenting untuk menilai satu hakikat persekitaran dalam memenuhi segala bentuk permintaan untuk melahirkan persekitaran alam bina dan suasana kehidupan sejahtera yang dihajati. Di dalam sektor pembangunan dan perkembangan ekonomi, bidang senibina sudah mencapai tahap yang memerlukan satu perancangan mantap program pembangunan perbandaran dan persekitaran lainnya seperti tempat kediaman, tempat bekerja, tempat belajar dan tempat beribadat, yang semuanya memerlukan satu perincian perancangan yang tersendiri mengikut kehendaknya sendiri sebagai menepati keperluan penghuninya yang pelbagai. Mutakhir ini, setelah melalui satu proses panjang dengan sejarah perkembangan senibinanya sendiri, pengaruh teknologi senibina moden dari negara luar pula telah menjadi salah satu asas atau faktor yang bertanggungjawab mempengaruhi perancangan dan rekabentuk senibina tempatan. Justru itu bidang senibina merupakan satu bidang yang begitu luas dan ianya perlu dilihat dalam pelbagai sudut kerana ia merangkumi pelbagai bidang. Setiap orang mempunyai persepsi yang berlainan mengenai bidang senibina. Walaubagaimanapun ia tetap mempunyai satu matlamat iaitu untuk melahirkan satu suasana persekitaran tertentu kehidupan manusia di dunia ini. Oleh itu, seni di dalam bidang senibina yang lebih dikenali sebagai ‘mother of all art’, perlu dipelopori golongan karyawannya yang bergelar ‘Arkitek’ dengan penuh berhemah, bertanggungjawab dan benar-benar berdidikasi. Profesion Arkitek merupakan satu profesion yang menarik yang menjanjikan kepuasan emosi yang tinggi setiapkali berkarya, yang tidak setanding cabang seni yang lain. Namun untuk menjadi seorang Arkitek yang disegani, seseorang Arkitek perlulah memberikan satu komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya. Tanggungjawab seorang Arkitek terhadap Pelanggannya dan tanggungjawabnya mencipta rekabentuk senibinaan yang bermutu tinggi adalah sebagai asas melahirkan satu persekitaran yang berpengaruh di dalam masyarakat. Keupayaan mencipta dan merekabentuk bangunan dengan berbekalkan asas ilmu secara teori sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan seorang Arkitek yang baik. Seorang Arkitek bukan sahaja perlu memahami teori rekabentuk tetapi mesti juga berwibawa melaksanakan tugas-tugasnya untuk memastikan bangunan rekabentuknya berjaya dibina di tapak. Oleh yang demikian, mengetahui dengan lebih mendalam asas berkaitan praktis profesional atau praktis senibina adalah sesuatu yang dimestikan. Untuk menjadi seorang Arkitek Profesional, ia mesti cekap dan berwibawa dalam melaksanakan peranannya kepada masyarakat. Kecekapannya dalam pengurusan kontrak sebagai contoh, adalah salah satu peranan yang telah dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.

0 comments:

Category List

Pages

Popular Posts


Catitan


Followers